Selasa, 29 Disember 2009

Kufur nikmat kerugian manusia

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

setiap manusia itu bertanggungjawab terhadap nikmat-nikmat
yang diamanahkan kepadanya dan akan disoal di akhirat kelak. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------

BERSUA kembali dalam ruangan Relung Cahaya pada tahun baru 1431 Hijrah. Semoga cahaya kebenaran sentiasa mengiringi perjalanan kita sekalipun berbagai onak dan duri terpaksa kita tempuhi.

Rasanya baru sahaja kita melangkah masuk ke tahun 1430 Hijrah, hari ini ia telah pun berlalu meninggalkan kita dan tidak akan kembali lagi. Bagaimana kita telah memanfaatkan waktu-waktu yang telah berlalu, hanya kita yang dapat menjawabnya. Sheikh Ibnu 'Atoillah telah mengingatkan kita tentang nilai waktu menerusi kalam hikmahnya: "Apa yang telah terluput daripada umurmu tidak ada gantiannya, dan apa yang telah terhasil daripada umurmu, tiada ukuran nilai harganya."

Memanfaatkan masa 

Mensia-siakan hak waktu bererti mensia-siakan umur yang begitu berharga kerana umur yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Apabila kita membiarkan ia berlalu tanpa melakukan sebarang amal soleh, maka kita telah terlepas daripada kebaikan yang amat banyak.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak); kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. (al Najm: 39-41)

Sabda Rasulullah SAW ini wajar dijadikan renungan: "Tidak datang kepada seseorang hamba satu waktu yang tidak disebut nama Allah di dalamnya melainkan akan mendatangkan penyesalan kepadanya pada Hari Kiamat kelak." 

Apabila waktu telah pergi, ia tidak akan dikecapi kembali, dan tiada suatu pun yang lebih mulia daripada waktu. Al Hasan al Basri RA berkata: Saya pernah menemui beberapa kaum yang begitu menjaga dan mengasihi diri dan waktu mereka melebihi daripada penjagaan mereka terhadap dinar dan dirham. Sebagaimana seseorang itu tidak mengeluarkan dirham dan dinar melainkan pada perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah kepada dirinya, dia juga tidak akan mensia-siakan diri mereka pada perkara-perkara yang tidak menjurus kepada ketaatan kepada Allah.

Para salafussoleh begitu berhati-hati dan tamak menjaga masa mereka sehinggakan Sayyiduna Ali RA pernah berpesan kepada isterinya Sayyidah Fatimah RA supaya melembutkan dan mencairkan masakan bagi mengurangkan masa mengunyah makanan yang mencuri masanya untuk bertasbih.



Menunda amal

Hari ini, kita melihat ramai manusia yang mengambil sikap menangguhkan waktu beramal atas alasan pekerjaan dan urusan dunia yang lain. Sheikh Ibnu 'Atoillah, seorang yang sangat tinggi pengalamannya dalam menghidupkan amalan salafussoleh dan dunia tarbiah menegaskan bahawa sikap gemar menunda amal kebaikan pada waktu ada kelapangan dengan kesibukan dunia, adalah suatu kebodohan.

Ketahuilah! Menangguhkan suatu amalan disebabkan urusan duniawi kerana menantikan masa lapang adalah suatu kebodohan kerana kamu lebih mengutamakan dunia daripada akhirat sedangkan kesibukan dunia tidak akan pernah habis. Kesibukan dengan pekerjaan dan kesibukan dunia akan menghalang seseorang itu daripada melakukan amal kebaikan yang akan menyambungkan hubungannya dengan hadrat Tuhannya.

Menangguhkan amalan kebaikan kerana urusan duniawi dianggap sebagai suatu kebodohan kerana tiga perkara:

1. Mendahulukan dunia dari akhirat. Ini bukanlah sifat orang Mukmin yang berakal dan ia bercanggah dengan tuntutan Allah. Firman Allah SWT: Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Al A'la: 16-17) 

2. Menunda amal kerana menanti akan ada masa lapang kadang kala tidak diperoleh. Bahkan, kadang kala maut lebih dahulu menjemput ajalnya ataupun pekerjaannya menjadi semakin banyak dan sibuk kerana kesibukan duniawi adalah satu perkara yang saling tarik menarik dan bertali arus. Sebagaimana yang disebut oleh penyair: "Maka tidak akan habis-habis kehendak seseorang dari dunia ini, dan tidak akan berkesudahan suatu keperluan melainkan berkehendak kepada keinginan yang lain pula."

3. Berkemungkinan kesempatan waktu untuk beramal itu diperoleh ketika dia tidak lagi bersemangat untuk beramal, ataupun ketika dia telah menukar niatnya. Oleh sebab itu, wajiblah seseorang itu bersegera melakukan amal dalam apa jua keadaan sekalipun, dan dia perlu merebut segala peluang sebelum tibanya maut dan terluputnya masa atau kesempatan, di samping bertawakal kepada Allah bagi mendapat kemudahan dalam urusannya dan menjauhkan segala rintangan yang menghalangnya membina dan merapatkan hubungan dengan Allah.

Allah berfirman: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas seluruh langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Ali Imran: 133)

Di antara tanda orang yang mengenal Allah ialah sempurna akalnya dan tajam pemikirannya. Tanda orang yang berakal ialah bersegera melakukan suatu amal. Mengejar umur, tidak boleh ada padanya sebarang penangguhan kerana apa yang terluput daripadanya tidak akan berganti dan apa yang terhasil daripadanya tidak ternilai harganya. Di dalam hadis Rasulullah SAW bersabda: "Ingatlah! Di antara tanda orang yang berakal ialah menjauhi dari dunia yang menipu, kembali ke negara yang kekal abadi, menyiapkan bekalan untuk mendiami kubur dan bersiap sedia untuk Hari Kebangkitan."

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Orang yang berakal ialah orang yang menahan nafsunya dan beramal untuk selepas mati. Manakala orang yang bodoh ialah orang yang mengikut kehendak nafsu dan suka berangan-angan ke atas Allah."

Di dalam Suhuf Nabi Ibrahim AS menyebut: "Hendaklah orang yang berakal yang tidak ditewaskan oleh akalnya mempunyai beberapa waktu; waktu bermunajat dengan Tuhannya, waktu muhasabah dirinya, waktu bertafakur tentang kejadian Allah dan waktu dikosongkan untuk menunaikan hajatnya daripada makan dan minum."

Orang yang menangguhkan amalnya ialah orang yang bukan sahaja bodoh tetapi tertipu. Dari manakah jaminan yang kamu peroleh untuk sampai kepada waktu tersebut, sedangkan maut sentiasa menanti masa untuk menerkam kamu, ketika kamu tidak menyedarinya?

Rasulullah SAW bersabda: "Dua nikmat yang sering menjadi kerugian kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan dan waktu lapang." Kebanyakan manusia tidak dapat menggunakan kesempatan ini melainkan sibuk dengan dunianya, terfitnah dengan nafsunya atau ditimpa sakit.

Kesimpulan daripada hadis ini, hanya segelintir manusia yang dikurniakan nikmat kesihatan dan kelapangan waktu. Sekiranya mereka dapat memakmurkannya dengan amalan ketaatan kepada Tuhan, maka mereka mensyukurinya dan mendapat keuntungan yang besar. Sekiranya mereka mensia-siakannya, mereka akan mendapat kerugian yang nyata dan kufur dengan kedua-dua nikmat ini. Bahkan, ia juga merupakan tanda kesedihan.

Syeikh Ibnu 'Atoillah RA berkata: "Perkara yang paling menyedihkan, setelah dikurangkan halangan kamu, kamu pula tidak mengadap-Nya." Semoga kita dapat mengambil iktibar. Orang yang hidup akan terasa sekiranya ditusuk dengan jarum. Tetapi orang yang mati tidak akan terasa sekalipun dipotong dengan pedang-pedang yang tajam. Renungilah!!










Kurus dengan cara murah

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

Gambar ABY BAIZURA HARUN

Dr. Mahathir Mohamed dan isteri, Dr. Nurhalinaazly Minhat
berjaya menguruskan badan setelah menjalani program ciptaan mereka.
--------------------------------------------------------------------------------
Perubahan gaya hidup penting dalam mencapai impian untuk kurus secara berkesan dengan cara yang paling murah.

Baik dari segi pemakanan dan amalan senaman harus diberi keutamaan kerana inilah yang menyumbang kepada pengurangan berat badan yang diinginkan.

Jangan sesekali kembali kepada gaya hidup yang lama apabila telah mencapai berat impian kerana ia bakal mengecewakan kita semula.


Untuk mengetahui sama ada seseorang itu terlebih berat badan atau berat yang ideal untuknya, pertama, timbang berat badan dalam kilogram, kemudian ukur tinggi dalam meter. Kira Indeks Jisim Badan (BMI) dengan membahagikan berat (kilogram) dengan tinggi (m2). 

BMI bagi individu normal harus kurang daripada 25. Sebaliknya, jika BMI 25 hingga 30 bermakna individu tersebut terlebih berat dan memerlukan diet dan senaman. Manakala BMI lebih daripada 30 ialah obesiti. 

Perunding masalah berat badan, Dr. Mahathir Mohamed berkata, ukuran BMI penting dalam mendapatkan sasaran jumlah berat badan ideal bagi seseorang yang mengalami masalah berat berlebihan dan ingin memulakan sebarang program diet atau menguruskan badan.

Katanya, setelah tahu apakah berat badan ideal yang ingin dicapai, maka ujian darah harus dilakukan. 

Ini bagi mendapatkan profil mengenai kandungan darah, fungsi buah pinggang atau ginjal, fungsi hati, kolestrol, kandungan gula dalam darah semasa berpuasa dan analisis air kencing.

''Ujian hormon turut akan dilakukan kerana ketidakseimbangan hormon juga berkemungkinan boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan ketidakupayaan untuk mengurangkan berat badan. 

"Selalunya pakar menentukan ujian hormon yang perlu diambil oleh seseorang bergantung kepada sejarah dan ujian fizikal.

''Ujian profail hormon tiroid sebagai contoh, penting bagi mengetahui ketidakcukupan fungsi tiroid yang menyebabkan kenaikan berat badan.

"Hormon lain yang memain peranan dalam pengurangan berat badan dan pengekalan termasuklah hormon tumbesaran, DHEA, estrogen, progesteron, testosteron, kortisol, insulin, leptin dan ghrelin,'' katanya ditemui di Klinik Mempermuda Kulit dan Anti Penuaan, Timeless, di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Menurut Dr. Mahathir, kekurangan hormon perlu diganti bagi mendapatkan tahap yang optimum bagi memastikan kejayaan.

''Satu lagi yang menentukan kejayaan pengurusan berat badan ialah diet. Diet mudah yang perlu diikuti ialah menghapuskan pengambilan gula, makanan manis termasuk coklat.

"Setiap kali membeli makanan baca dulu label tentang kandungan bahannya. Jika ada kandungan gula di dalamnya, dinasihatkan tidak membelinya dan setiap makanan harus mempunyai ketiga-tiga kumpulan makanan seperti protein, karbohidrat dan lemak.

''Dapatkan glycemic yang rendah daripada buah-buahan seperti epal, pir, jambu batu, aprikot dan kiwi, sayur-sayuran dan kekacang.

''Sebaliknya, ambil protein daripada ikan, ayam, daging, telur dan taufu. Lemak yang baik pula daripada minyak zaitun manakala omega-3 pula boleh diperoleh daripada minyak ikan dan minyak kelapa dara yang mengandungi medium chain triglycerides,'' jelasnya yang turut mengalami penurunan berat badan dari 104 kilogram ke 80 kilogram manakala isterinya turun dari 68 kilogram ke 55 kilogram setelah mengubah cara hidup dan mengikuti program yang dicipta olehnya. 

Menurut Dr. Mahathir, diet yang sesuai ialah diet yang berkalori rendah. Sebagai contoh, program 500 hingga 800 kalori yang lengkap dengan semua zat yang diperlukan oleh badan untuk bertenaga dan sihat.

Dua minggu fasa intensif

Minum pagi: Mihun sup dicampur dengan ayam, bebola ikan dan sayur. Kurangkan mi sebanyak satu mangkuk sahaja. Minum air kosong.

Makan tengah hari: Sup ayam yang mengandungi protein, lemak dan vitamin) dicampur dengan air (kira-kira 250 kalori)

Makan malam: Tom yam, banyakkan sayur. 

''Ingat, minum banyak air kerana banyak orang menyangkakan mereka lapar tetapi sebenarnya mereka hanya dahaga. Selepas minum, anda tidak lagi lapar. Selain itu, ia membuatkan anda hidrasi dan mengeluarkan toksin di dalam usus.

''Dicadangkan mengambil multivitamin yang kaya dengan chromium, selenium, zink dan vitamin E bagi memperoleh nutrisi yang lengkap.

''Selepas dua minggu, anda akan mendapat tenaga baru dan berat badan anda berkurangan,'' katanya yang mula sedar untuk menguruskan badan setelah kehilangan ahli keluarga pada usia akibat sakit jantung. 

Tambahnya, langkah kedua, anda kini boleh makan dua kali iaitu sarapan pagi dan makan tengah hari tetapi tanpa gula, tinggi protein yang diperoleh daripada sayuran dan glycemic rendah daripada buah-buahan.

Selalunya, orang Malaysia pasti akan merindui nasi. Namun, anda boleh menggunakan beras glycemic rendah seperti basmathi. 

''Nasihat saya untuk mengambil suku pinggan sahaja nasi manakala yang lain dipenuhi dengan sayur-sayuran, ikan atau ayam. Anda boleh mengambil satu buah-buahan glycemic rendah setiap kali makan seperti epal. Juga, makan ayam tanpa kulit.

''Ambil penggantian makanan berat untuk makan malam seperti sup supaya perut anda tidak bekerja keras semasa anda tidur,'' katanya.

Pada masa ini mulalah melakukan senaman untuk membina otot. Senaman Tabata adalah sesuai pada tahap ini. Berenang juga adalah senaman yang boleh mengurangkan berat badan, menguatkan kardio dan ketahanan badan. 

''Ingat, anda seharusnya mengurangkan lemak dan otot-otot semasa fasa pertama dan inilah masanya untuk menggantikan otot tersebut. Anda tidak akan mahu kulit yang melendut di tubuh.

''Lakukan perkara yang sama pada tahap kedua sehingga anda gembira dengan berat anda. Ini mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan tetapi diingatkan jangan cepat sangat turun kerana anda perlu membina otot dan mengelakkannya daripada melendut. Jika hanya turun 5 kilogram, anda telah menambah lima hingga lapan tahun usia hidup yang sihat,'' ujarnya.

Selepas tiga hingga empat minggu di tahap kedua, fizikal aktiviti anda meningkat, bolehlah makan snek yang merupakan buah-buahan glycemic rendah antara pukul 11 pagi dan 4 petang untuk menstabilkan gula dalam darah dan hormon.

Apabila berat badan yang diidamkan telah diperoleh, kekalkan dengan pelan makanan sihat yang sedia ada dan teruskan senaman. Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, hubungi 03-78808486.



Rangsang otak si kecil

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my



Dr. Mastura

--------------------------------------------------------------------------------------------

Bahagian II (sambungan artikel "Rangsang otak bayi" pada 20/12/2009)


DAYA sensitiviti kanak-kanak sangat tinggi, menurut Dr. Mastura. Secara semula jadi katanya, kanak-kanak amat sensitif, mudah rasa takut, cepat marah dan selalu dilanda perasaan cemburu.

Antara sifat semula jadi kanak-kanak yang lain:

1. Perasaan ingin tahu yang tinggi. Itulah sebabnya kanak-kanak tidak boleh duduk diam dan meneroka sahaja apa yang ada di sekitar mereka. Mereka belajar melalui "first hand experience." Ibu bapa perlu melibatkan anak-anak dengan aktiviti pembelajaran tidak langsung secara praktikal.

2. Daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi. Ia bergantung pada umur kanak-kanak dan perlu dipupuk serta digalakkan. Daya kreativiti yang tinggi dapat menggarap potensi kanak-kanak menjadi seorang yang inovatif. Namun adakalanya kata Dr. Mastura, ibu bapa berpendapat anak suka berbohong. Tapi, sebenarnya mereka tidak berbohong sebaliknya berimaginasi.

3. Perkembangan bahasa yang cepat. Berlaku dengan pantas dan mereka mudah menguasai sesuatu bahasa asing jika digunakan setiap hari. Bahasa membantu kanak-kanak menyampaikan keinginan dan perasaan. Tindak balas yang positif dan cara komunikasi yang betul dapat membantu kanak-kanak menguasai bahasa yang dipelajari.

4. Kecenderungan menyusun dan membongkar barang. Apabila otot mula berkembang, kanak-kanak akan terdorong untuk mengumpul, menyusun barang-barang dan kemudian menyepahkan semula barang tersebut. "Kanak-kanak secara semula jadi tidak suka melihat barang yang tersusun rapi. Jika anak suka barang tersusun, mungkin dia ada masalah lain seperti autisme. Jadi, sekiranya ingin menyusun atau mengemas sesuatu barang, jangan lakukan di depan anak," kata Dr. Mastura.

Bagaimana menjana potensi

"Sebagai ibu bapa, jangan lupa menyimpan rekod perkembangan dan peningkatan anak," kata beliau.

Dalam pada itu, Dr. Mastura turut berpesan agar jangan membandingkan antara satu anak dengan yang lain kerana pastinya setiap individu itu berbeza pencapaian dan perkembangannya.

Yang penting katanya, kenal pasti kekuatan anak dan bantu mereka mengatasi kelemahan atau kekurangan yang dimiliki.

Selain itu kata beliau, jangan lupa berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak sepanjang masa.

"Untuk menjadi seorang ibu bapa yang responsif dan efektif, kita perlu mendengar luahan anak," katanya.

Juga perlu sentiasa puji dan beri anak galakan supaya mereka rasa dihargai.

"Jangan lupa memberi ganjaran seandainya anak berjaya namun jangan berlebihan," katanya.

Anak juga katanya perlu diberi peluang untuk berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa.

"Sebagai ibu bapa, tunjukkan tauladan yang baik kepada anak. Ingat, setiap perlakuan yang kita lakukan, sentiasa diperhati oleh anak dan tidak mustahil dia akan menirunya kelak," katanya.

Akhir sekali Dr. Mastura turut berpesan kepada ibu bapa agar menghormati dan hargai perasaan anak.

"Perkukuh pandangan anak terhadap potensi diri mereka. Jangan kita perlekeh usaha dan pencapaian mereka, tambahan lagi jika di depan orang lain," katanya.

"Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik terutama kanak-kanak. Barang siapa yang ditarbiah secara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat."

-Ibnu Khaldun-

Rangsangkan otak bayi




BERGELAR ibu bapa, saat menyaksikan perkembangan si permata hati sejak lahir adalah suatu pengalaman yang paling indah. Jika boleh, sedetik pun kita tidak mahu terlepas peluang yang cukup berharga ini.

Peringkat awal kehidupan si kecil sememangnya penuh dengan cabaran dan penerokaan. Sebagai ibu bapa, kitalah yang perlu membimbing mereka. Memberi dorongan dan galakan agar tahun-tahun awal kehidupan ini diisi dengan pengalaman serta pengetahuan yang berguna.

Menurut pensyarah dari Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Mastura Badzis, bayi di dalam bahasa Arab disebut at-tiflu yang bermaksud lembut, mudah rosak, sensitif dan mudah terdedah kepada kerosakan.

"Jika tidak betul penjagaan, ia mudah terdedah kepada bahaya. Bayi dan kanak-kanak memerlukan penjagaan dan asuhan yang teliti," katanya.

Merujuk kepada Ibnu Sina, umur dari lahir hingga dua tahun dipanggil usia buaian. Dari tiga hingga lima tahun adalah usia taman asuhan. Dari enam hingga 12 tahun adalah peringkat pendidikan pertama manakala dari 13 hingga 21 tahun peringkat remaja.

Kata Dr. Mastura, untuk menjana perkembangan holistik bayi dan kanak-kanak, ia perlu merangkumi perkembangan rohani, sosio budaya, bahasa dan komunikasi, tingkahlaku simbolik (bermain, bahasa isyarat, mimik muka, kreativiti dan imaginasi), biologi (bentuk tubuh secara fizikal dan kemahiran pergerakan), intelek atau kognitif (pemikiran dan idea), perkembangan sosial (aspek 'saya' dan 'awak', imej diri, jantina, hubungan dengan orang lain) dan emosi (perasaan).
 
Jelasnya, ibu bapa perlu memahami perbezaan antara perkembangan dengan pembelajaran bagi memudahkan mereka membantu anak meneroka persekitaran.

"Perkembangan adalah perubahan secara umum bagaimana anak berfungsi dan ia berlaku secara normal," katanya.

Manakala pembelajaran adalah sesuatu yang provokasi, kata Dr. Mastura. Ia perlu mendapat rangsangan otak dan ada masalah yang perlu diselesaikan.

"Contohnya, bayi yang memegang bola dan memasukkan ke dalam mulut. Dia ingin mengetahui bagaimana bentuk bola itu dan sebagai ibu bapa, beritahu kepada anak bahawa ini bola," katanya.

Menurut beliau, bayi lebih gemar memasukkan objek ke dalam mulut kerana lidah mereka lebih berfungsi daripada tangan untuk merasa sesuatu objek.

Katanya, bayi yang tidak dirangsang juga akan melalui proses perkembangan seperti biasa tapi tidak sama dengan bayi yang didedahkan dengan proses pembelajaran.
 
"Rangsangan otak pesat berkembang dalam enam tahun pertama kanak-kanak iaitu hampir 85 peratus. Jika kanak-kanak tidak diberi peluang untuk belajar apa yang ada di sekeliling mereka ketika itu, memang rugi," katanya.

Apa yang berlaku dalam otak kanak-kanak?

Dalam otak kanak-kanak terdapat sel otak (neuron). Ia perlu dirangsang. Jika tidak, neuron akan mati. Jika terdapat rangsangan, sel neuron akan berkembang dan menghasilkan lebih banyak lagi sinap.


Prosedur menjana potensi

* Gunakan segala peluang yang ada supaya bayi boleh membuat penemuan tentang dunia melalui kelima-lima deria yang ada.

* Berbual dan berkomunikasi dengan bayi

* Galakkan bayi memegang, menggenggam objek pelbagai saiz, bentuk dan tekstur. Refleksi genggaman bayi akan hilang selepas berusia dua bulan.


Tiga bulan hingga lima tahun

* Rangsang dengan menggunakan permainan.

* Ketika berumur antara tiga hingga lima bulan, gunakan cermin (baik untuk bayi mengenali imej sendiri kerana ketika ini mereka tidak tahu bahawa imej di cermin adalah diri mereka), 'crip gym' yang boleh ditarik, ditolak dan ditendang.

* Ketika berusia lima hingga lapan bulan, bayi suka membaling dan menjatuhkan objek ke bawah (tanda perkembangan yang sihat). Bila dia mula merangkak, bayi suka persekitaran yang lapang dan mempunyai permainan. Ketika ini mereka mula berkomunikasi.

* Ketika berusia lapan hingga 14 bulan, beri bayi peluang merasai pengalaman melalui eksperimen ketika bermain seperti lompat, menangkap, meramas, memusing, tendang, baling, lari, bergolek dan sebagainya.

"Bayi yang merangkak dahulu sebelum berjalan lebih pengamatan kerana dia dapat mempelajari banyak perkara melalui persekitaran," kata Dr. Mastura.

* Ketika berusia antara 14 bulan hingga dua tahun, kanak-kanak sudah boleh bercakap. Mereka suka dengan permainan imaginatif seperti bermain dengan air. Juga pengalaman secara langsung dengan persekitaran seperti graviti, berat, timbul, tenggelam, sejuk dan sebagainya.

* Ketika berusia antara tiga hingga lima tahun, ibu bapa boleh merangsang kanak-kanak untuk berdikari, belajar berkerjasama, meneroka seni, pelajari pengalaman tentang sebab dan akibat, berimaginasi serta pembinaan kreativiti untuk merangsang kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah.

"Setiap kanak-kanak mempunyai motivasi yang berbeza," jelas Dr. Mastura.


Ciri semula jadi kanak-kanak

1. Kanak-kanak suka meniru perlakuan orang lain (mimik) tanpa mengetahui mengapa sebabnya. Ia akan meniru perlakuan karakter kegemaran mereka selain ibu bapa seperti karakter kartun, tv, dan sebagainya.

2. Kanak-kanak biasanya degil. Ini kerana mereka ingin berdikari tetapi dalam masa yang sama masih memerlukan kehadiran ibu bapa. Membiarkan kanak-kanak mengetahui akibat daripada perbuatan mereka adalah satu cara untuk mengajar mereka agar tidak mengulangi perkara yang sama.

3. Belum mampu membezakan betul dan salah. Pemikiran kanak-kanak belum mampu menaakul sesuatu berasaskan logik dan mereka juga tidak faham mengenai abstrak.

4. Suka bertanya soalan. Disebabkan perasaan ingin tahu yang mendalam, kanak-kanak suka bertanya soalan yang pelbagai mengenai persekitaran, perlakuan dan apa sahaja. Dalam menangani perkara ini, ibu bapa atau pengasuh perlu kreatif ketika memberi jawapan yang sepadan dengan perkembangan pemikiran mereka.

5. Ingatan yang tajam. Ketika usia sebegini, kanak-kanak memang mudah mengingati apa sahaja yang didedahkan kepada mereka. Jika disuruh menghafal sesuatu, mereka mudah ingat tetapi tidak faham apa yang dihafal.

6. Suka kepada ganjaran dan sokongan. Puji kanak-kanak dan beri perhatian serta galakan kepada mereka untuk merangsang perkembangan positif.

7. Kanak-kanak memang suka bermain dan perkara yang menghiburkan adalah naluri semula jadi mereka. Sebolehnya ibu bapa atau pengasuh bermain bersama mereka agar tidak terlibat dengan perkara yang mendatangkan bahaya.

8. Suka bersaing. Semakin kanak-kanak membesar dan sudah boleh berinteraksi dengan adik beradik juga rakan sebaya, mereka akan mula bersaing sesama sendiri dengan tujuan untuk mendapat perhatian.

Sumber: Utusan Malaysia (20/12/2009)


Jumaat, 25 Disember 2009

Mat... Mat..

Email ni dah lama saya dapat.. dari teman sekerja dulu.. 
saje saya publishkan kat sini.. sebagai perkongsian bersama..

sebab ada moral yang tersirat di sebalik cerita lawak ni.. 
terutamanya kepada kaum suami di luar sana..





> > > >     Mat tidak pernah membantu isterinya membuat

> > > >     kerja-kerja rumah. Malah dia sering bersungut

> > > >     sendirian kerana telah merasa bosan setiap hari

> > > >     kerja, sedangkan Nab isterinya hanya tinggal di rumah.

> > > >     Kalau boleh, dia mahu isterinya tahu betapa penat dan

> > > >     letihnya dia bekerja setiap hari untuk menanggung

> > > >     keluarga.



> > > >     Satu malam ~~~~  Mat berdoa,"Ya Tuhanku. Aku bekerja 8

> > > >     jam sehari sedangkan isteriku hanya tinggal di rumah

> > > >     bersama anak-anak. Aku mahu supaya dia tahu betapa

> > > >     letihnya aku bekerja setiap hari. Tolonglah ya Tuhan,

> > > >     tukarkanlah aku dan isteriku. Biar aku yang menjadi

> > > >     isteri untuk sehari sahaja supaya dia pula dapat

> > > >     merasakan betapa letihnya aku bekerja. Biar aku pula

> > > >     yang berehat di rumah"



> > > >     Tuhan Yang Maha Mengetahui telah mengkabulkan

> > > >     permintaan Mat. Pagi besoknya, ia bangun dari tidur,

> > > >     dan pastinya sebagai seorang isteri. Bangun saja dari

> > > >     tidur, dia bergegas ke bilik air, cuci gigi dan terus

> > > >     ke dapur menyediakan sarapan untuk suami dan

> > > >     anak-anak.



> > > >     Pastu bangunkan anak-anak dan melayan mereka

> > > >     bersarapan, pada masa yang sama melayan suami

> > > >     bersarapan. Pastu menghantar suami yang nak pergi

> > > >     kerja ke pintu, kembali membetulkan baju anak-anak

> > > >     yang nak ke sekolah dan menyediakan air yang anak-anak

> > > >     nak bawa ke sekolah.

 

> > > >     Pastu panaskan injin kereta dan bergegas hantar

> > > >     anak-anak ke sekolah. Balik dari sekolah terus ke

> > > >     pasar untuk membeli ikan dan keperluan dapur yang

> > > >     lain. Dekat dua jam baru sampai balik ke rumah. Simpan

> > > >     barang-barang dapur ke dalam almari dapur dan ikan

> > > >     simpan dulu dalam peti ais. Komdian kutip kain busyuk

> > > >     untuk dicuci dengan mesin sehingga selesai dan

> > > >     dijemur. Pastu baru mula memasak untuk anak-anak yang

> > > >     akan balik sekolah nanti.

 

> > > >     Selesai masak, jam dah pukul 12.45 tengahari. Terpaksa

> > > >     pula bergegas ambil anak dari sekolah. Selesai ambil

> > > >     anak, beri pula mereka makan sebelum mengatur

> > > >     anak-anak supaya membuat kerja sekolah. Pastu terpaksa

> > > >     pula kemas rumah supaya jangan bersepah sangat.

> > > >     Komdian angkat kain di jemuran. Tiba-tiba anak bongsu

> > > >     menangis kerana terjatuh. Dah nak kena beri rawatan

> > > >     dan pujuk supaya tangisan tidak berlarutan.

 

> > > >     Dah selesai, kain-kain yang baru diangkat perlu pula

> > > >     dilipat dan disusun dalam almari. Sedar tak sedar,

> > > >     waktu Zohor dah tinggal tak berapa minit saja lagi.

> > > >     Terpaksa bergegas pulak tunaikan Zohor sebelum

> > > >     tertinggal. Selesai salam, azan Asar kedengaran.

> > > >     Selesaikan pulak solat Asar sebelum menyambung apa-apa

> > > >     kerja yang belum siap.

 

> > > >     Belum sempat rehat, terpaksa pula balik ke dapur untuk

> > > >     menyiapan makan malam. Lepas Maghrib, terpaksa layan

> > > >     suami dan anak-anak makan, pastu cuci pinggan mangkuk,

> > > >     pastu mandikan anak yang masih kecil, pastu uruskan

> > > >     supaya anak-anak masuk tidur.... dan macam-macam pastu

> > > >     lagi. Dekat pukul 11.00 malam barulah semua kerja

> > > >     rumahtangga selesai. Badan pun dah longlai lohe...

> > > >     Bolehlah rasanya nak berehat sikit.

 

> > > >     Opps.... belum boleh rehat rupanya. Suami juga mahukan

> > > >     layanan. Berdosa isteri kalau tak melayani kemahuan

> > > >     suami. Tambahan pulak malam ni malam Jumaat. Maka

> > > >     suami dilayani dengan sewajarnya sehinggalah dia

> > > >     terkulai dua kali lohe dan langsung tertidur.......

> > > >     tak pasti pukul berapa.

 

> > > >     Setelah terjaga sebelum dinihari, Mat segera bangun

> > > >     dan berdoasemula,"Ya Tuhanku. Barulah kini aku

> > > >     tahu.... Aku dah tak sanggup lagi jadi isteri. Aku

> > > >     keluar bekerja seharian pun tak penat macam ni. Ada

> > > >     juga masa berehat, minum kopi dan berbual dengan

> > > >     kawan-kawan. Tolonglah kembalikan aku sebagai suami

> > > >     semula. Tobat aku tak sanggup dah jadi isteri. Salah

> > > >     sangkaanku selama ini bahawa kerja-kerja isteriku di

> > > >     rumah begitu mudah. Biarlah isteriku terus di rumah

> > > >     dan aku keluar bekerja"

 

> > > >     Sekonyong-konyong Mat terdengar satu suara ghaib

> > > >     berkata,"Wahai Mat, kamu belum boleh kembali menjadi

> > > >     suami sebab persetubuhanmu malam tadi telah menjadi

> > > >     benih. Kamu kenalah tunggu 9 bulan 10 hari lagi untuk

> > > >     melahirkan anak sebelum kamu dapat menjadi suami

> > > >     kembali...."

 

> > > >     Whatttt???... 9 bulan 10 hari???

> > > >     ....Beranaaak???.......Waaaaaa.. tak mo... takmo...

> > > >     takmmmoooooooo!!!

 

> > > >     ~~~~~ "Bang, bang... Abangggg... apasal niii.....??"

> > > >     Sergah satu suara di  sisinya.

 

> > > >     Mat melompat bangun dari katilnya dan terus memegang

> > > >     isterinya sambil bertanya,"Nab, Nab kah yang jadi

> > > >     suami tau abang yang jadi suami??? "Laaaaa... tebiat

> > > >     apa pulak abang ni. Kan Nab ni pompuan. Tentulah abang

> > > >     yang jadi suami..... Appa punya lawak pagi-pagi rabun

> > > >     ni....."

 

> > > >     Hari tu Mat mengambil cuti emergency dan sehari suntuk

> > > >     membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah.....

> > > >     Hinggakan seluar kecik dan baju kecik Nab pun habis

> > > >     Mat kutip basuh... Nab terkedu beghok, terlopong dan

> > > >     jadi bisu  seharian melihat gelagat suaminya.........



> > > >     Moral cerita : Isteri perlu disayangi dan lindungi
> > > >     kerana ia adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai.

Isnin, 21 Disember 2009

Aina dah boleh duduk...

Sepatutnya entry ni masuk semalam tp dek kerana smalam hari yg sangat bz, jd mak terlepas peluang ler nak berblog... hehehe..

Sebenarnya mak teruja sangat sbb semalam anak mak dah boleh duduk sendiri.. hihihi..
semalam pas mandikan dia, baringkan dia atas katil.. waktu nak pakaikan baju tgk dia dah duduk.. aiii? camne dia buat? aku terlepas pandang ke? puas ku dok ajar, latih akhirnya boleh jugak walaupon ikut stail dia sndiri.. tak kisahlah mak.. asalkan dia dah boleh duduk sendiri..

Semalam sambil2 tengok tv, 2,3 kali aina baring duduk depan ayah dia.. pastu siap tepuk2 tangan lagi.. so sweet kan...

Sebelum2 ni.. dia boleh duduk tp kena mak yg dudukkan.. duduk nak baring boleh, tp baring nak bangun duduk tak boleh.. boleh berdiri tp kena mak dirikan.. tp skrg dah lepas satu tahap tunggu tahap dia boleh berdiri sendiri pulak.. cuma sekarang ni dia tak berani lagi nak angkat lutut dia tu.. setakat ni dah boleh pegang2 kerusi, meja sambil berjalan sendiri.. mintak2 cepatlah anak mak ni boleh berjalan.. tak sabo mak!!



Pg td lak, mak sempat ler ngajo dia ABC.. sambil tunjukkan gambo2 abjad yg mak beli kat pasaraya Bintang semalam.. hehehe.. aina pun ikut.. A..B..C..D..E.. terkezut mak , aina dah boleh sebut walaupun slang.. pandai anak mak!!  pastu A je sampai sudah.....

Jumaat, 18 Disember 2009

Perkara sunat dilakukan pada Hari Asyura

1. Melapangkan masa dengan belanja anak isteri

Fadilat - Allah akan melapangkan hidup mereka pada tahun itu.

2. Memuliakan fakir miskin

Fadilat - Allah akan melapangkan kubur mereka nanti.

3. Menahan marah

Fadilat - Di akhirat kelak Allah s.w.t akan memasukkan mereka ke dalam golongan yang reda

4. Menunjukkan orang sesat

Fadilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hati.

5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim

Fadilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi setiap rambut yang diusap.

6. Bersedekah

Fadilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tidak berhenti-henti daripada kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

7. Memelihara kehormatan diri

Fadilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya

keimanan.

8. Mandi sunat

Fadilat - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun berkenaan. Lafaz niat : Sahaja aku mandi sunat Hari Asyura kerana Allah Taala.

9. Bercelak

Fadilat - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.

10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali

Fadilat - Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat pada hari akhirat.

11. Sembahyang sunat empat rakaat

Fadilat - Allah akan mengampunkan dosanya walaupun berlarutan selama

50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku solat sunat Hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala."

Pada rakaat pertama dan kedua selepas al-Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.

12. Menjamu orang berbuka puasa

Fadilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

13. Puasa

Niat - Sahaja aku berpuasa esok hari sunat Hari Asyura kerana Allah Taala.

Fadilat - Diberi pahala 1,000 kali haji, 1,000 kali umrah dan 1,000 kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Selasa, 15 Disember 2009

Tulang kuat untuk kanak-kanak hebat

BERIKAN anak anda tulang yang kuat untuk melengkapi minda cerdas mereka. Para ibu sentiasa mahukan yang terbaik buat anak-anak.

Walaupun perkembangan otak adalah penting, para ibu tidak seharusnya mengabaikan kesihatan tulang anak mereka.

Tambahan pula, membina tulang yang kuat bukan sahaja menyumbang kepada keseluruhan perkembangan anak anda malah ianya juga penting untuk mencegah osteoporosis di masa hadapan.

Bermula awal
Penjagaan tulang perlu bermula sejak awal lagi! Dan zaman kanak-kanak adalah waktu yang paling sempurna untuk memulakannya kerana ketika inilah tulang terbentuk dengan pantas.

Lebih banyak jisim tulang yang berjaya dikumpulkan, lebih kuatlah tulang apabila ia membesar.
Tanpa tulang, anak anda tidak mungkin dapat melakukan semua aktiviti yang digemarinya. Mereka tidak mungkin dapat berlari, melompat atau bermain.

Tulang bukan sekadar menyokong tetapi juga melindungi organ-organ yang lain. Ia juga membolehkan anak anda bergerak dan berperanan sebagai tempat penyimpanan mineral seperti kalsium dan fosforus, selain bertindak sebagai persekitaran di mana sel darah dihasilkan.

Anak anda memerlukan pemakanan yang betul dan senaman yang secukupnya untuk memastikan tulang yang sihat dan kuat.

Perkara pertama yang perlu anda pastikan adalah anak anda mendapat kalsium secukupnya untuk keperluan hariannya.

Saranan Pengambilan Nutrien untuk warganegara Malaysia adalah 500 miligram (mg) bagi kalsium untuk kanak-kanak berumur setahun hingga tiga tahun, 600 mg untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun dan 700 mg untuk yang berumur antara tujuh hingga sembilan tahun.

Kalsium
Segelas susu boleh memberikan anak anda kira-kira 250 mg ke 500 mg kalsium. Jadi, pastikan anak anda meminum dua gelas susu sehari untuk memberikan mereka kalsium yang mencukupi setiap hari.
Janganlah susah hati jika anak anda tidak sukakan susu. Walaupun ia sumber kalsium yang terbaik, terdapat pelbagai pilihan untuk mendapatkan kalsium bagi anak anda.

Sebagai contoh, keju, tairu, aiskrim, susu soya dan sesetengah jenis minuman (seperti minuman koko dan malt) mungkin mengandungi kalsium yang hampir sama dengan segelas susu.
Kebanyakan makanan lain seperti bijirin sarapan dan biskut juga kini diperkaya dengan kalsium. Jadi, ingatlah untuk membaca label makanan untuk mengenalpasti kandungan kalsiumnya.

Bermain & vitamin D
Bermain di luar merupakan sebahagian dari proses membesar dan ini merupakan senaman yang baik untuk anak anda.

Senaman menahan berat yang memaksa badan memikul beratnya sendiri seperti berjalan, berlari, bermain tenis atau badminton boleh merangsang pertumbuhan tulang.

Hasilnya, tulang akan menjadi lebih kuat dan tumpat. Jadi, bergembiralah jika anak anda suka bermain bola sepak lewat petang di padang.
Itu baik untuk tulangnya!

Paling tidak pun, bermain di luar lebih baik dari hanya terperap di dalam rumah. Zaman teknologi kini boleh membahayakan tulang anak anda kerana lebih ramai kanak-kanak kini memilih berhibur dengan televisyen, internet dan permainan video berbanding bermain di luar untuk menggerakkan tulang dan badan mereka.
Cubalah galakkan anak anda untuk menjadi lebih aktif dan tetapkan had masa untuk aktiviti pasif di rumah.

Satu lagi keburukan bermain di dalam rumah adalah kekurangan vitamin D. Anak anda memerlukan vitamin ini kerana ia membantu dalam penyerapan kalsium.

Vitamin D boleh diperolehi dari makanan diperkaya seperti susu, keju, mentega dan marjerin tetapi badan kita boleh menghasilkannya sendiri apabila terdedah kepada cahaya matahari.

Jadi, biarkanlah anak anda bermain di bawah cahaya matahari untuk 10 hingga 20 minit setiap hari.
Mereka bukan hanya sekadar dapat bersenam malahan akan mendapat vitamin D juga.

Walaupun begitu, cara terbaik untuk kanak-kanak belajar adalah apabila ibubapa memberikan contoh yang baik kepada mereka.

Anak anda menganggap anda sebagai contoh yang perlu diikuti dan sudah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan mereka mempelajari tabiat yang baik dari anda.

Berikut adalah beberapa cara untuk anda memupuk penjagaan tulang yang baik bagi anak anda di rumah:
l Menyediakan snek yang kaya dengan kalsium
l Menghidangkan makanan sekali dengan susu
l Mengelakkan dari memberi minuman ringan kepada anak-anak
l Keluar bersiar-siar atau bersukan dengan anak anda apabila ada masa lapang

Setiap ibu mahukan anak-anak mereka bijak dan sihat. Walaubagaimanapun, ada yang terlalu menekankan perkembangan otak sehinggakan mereka lupa tentang kepentingan badan yang sihat.

Lagipun, kanak-kanak yang sihat belajar dengan lebih baik daripada mereka yang kurang sihat. Kesihatan tulang paling penting pada usia ini.

Mereka memerlukan tulang yang kuat bukan sahaja untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka malahan untuk manfaat di masa hadapan.

Semuanya dalam Gen
Osteoporosis adalah penyakit yang boleh diwarisi. Jika salah seorang dari ahli keluarga anda menghidapi osteoporosis, besar kemungkinan anda dan anak-anak anda juga berisiko menghidapinya.
Osteoporosis adalah penyakit kemerosotan tulang yang menjadikan tulang lebih nipis dan cenderung kepada keretakan.

Dan walaupun tulang kanak-kanak kembali pulih selepas keretakan, ianya tidak sama jika anda berusia lebih 50 tahun.

Anda perlu hidup dengan keretakan itu dan inilah kesan osteoporosis ke atas anda. Jadi anda perlu mengambil langkah untuk mencegahnya dari berlaku.

Penjagaan tulang yang baik bermula dari zaman kanak-kanak, jadi anda perlu memastikan bahawa anak-anak anda mengambil hidangan yang sihat dan seimbang serta kaya dengan kalsium dan mendapat senaman secukupnya di bawah cahaya matahari.

Mulakan sekarang, dan buatlah perubahan dalam hidup anak anda!

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd dan Rottapharm Madaus.

Selasa, 1 Disember 2009

Azam mendidik anak

Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?




"BELAJARLAH memahami setiap tindakan anak kerana dengan cara inilah anda menggalakkan komunikasi yang lebih baik."