Oleh Halina Mohd Noor
Kisah Aminah upah Halimatusaadiah sebagai ibu susuan Nabi Muhammad peringatan penting.
MUNGKINKAH parahnya penyakit sosial di kalangan masyarakat hari ini adalah akibat meminum susu lembu sebagai ganti susu ibu? Mahu atau tidak, inilah hakikat yang perlu dipertimbangkan semula kerana bijak pandai mengatakan, ‘Kita adalah apa yang kita makan’.
Tidak hairanlah manusia yang dilahirkan, tetapi diberi minum susu lembu memiliki ciri seekor lembu atau kata lain, bersifat kebinatangan. Bunyinya keras, tetapi lihatlah masyarakat hari ini yang lebih ganas daripada binatang liar.
Sumbang mahram, rogol dan bunuh, dera dan sebagainya semakin menjadi-jadi. Keganasan sering kali dipilih sebagai kaedah penyelesaian masalah walaupun bagi masalah kecil.
Kebimbangan wujud manusia berciri kebinatangan hari ini disuarakan tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz ketika menyampaikan ceramah sempena Minggu Penyusuan Ibu Sedunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, sikap lebih gemar memberi susu lembu kepada bayi berbanding susu ibu menyebabkan masyarakat tidak sedar bahawa mereka sedang menjana manusia ‘Nas’ yang bersifat kebinatangan.
“Manusia terbahagi kepada dua iaitu manusia ‘Nas’ yang tidak menggunakan akal dan suka melakukan kemungkaran dan satu lagi, manusia ‘insan’ yang lebih cenderung kepada kebaikan dan memelihara diri daripada kejahatan.
“Jika diperhatikan, di dalam al-Quran ada 300 ayat yang bermula dengan perkataan ‘Wahai Nas’ yang diturunkan pada zaman jahiliah di Makkah, manakala hanya 82 ayat yang bermula dengan ‘Wahai insan’ yang diturunkan di Madinah. Ini menunjukkan manusia ‘insan’ yang bercirikan kemanusiaan kurang berbanding manusia ‘nas’. Malangnya, manusia hari ini semakin tergolong ke dalam manusia ‘nas’,” katanya yang menyampaikan ceramah bertajuk Menjamin Sahsiah dan Hubungan Sesama Manusia .
Beliau berkata, jenayah yang dilakukan masyarakat hari ini jauh lebih buruk daripada masyarakat jahiliah. Sungguhpun mereka dikenali kerana kekufuran, pada zaman berkenaan tidak ada bapa yang merogol anak sendiri atau membuang bayi yang dilahirkan ke merata tempat.
Tahap ‘kebinatangan’ mereka tidak seteruk masyarakat hari ini kerana mereka tidak memberikan bayi mereka dengan susu binatang lain.
“Peranan ibu yang utama ialah menyusukan anak dengan susu badan seperti yang ditentukan dalam al-Quran. Ini sudah ditunjukkan ibu Nabi Muhammad, Aminah. Selepas lapan bulan Muhammad dilahirkan, susu Aminah kering, tetapi dia tidak terfikirpun untuk menggantikannya dengan susu kambing yang banyak di rumahnya.
“Sebaliknya, Aminah lebih sanggup mengupah Halimatusaadiah untuk menyusukan Muhammad. Melalui kisah Aminah, Allah sengaja hendak mengajar umatnya bahawa wanita lain boleh menyusukan anak orang lain dan mereka digelar ibu susuan yang haram berkahiwn dengan anak dan saudara daripada ibu susuan tadi. Syaratnya, mereka perlu disusukan sekali sehingga kenyang,” katanya.
Ada rahmat terselindung di sebalik persoalan, mengapa susu manusia terlekat pada dada berbanding binatang lain. Ini bagi memudahkan ibu memeluk bayi sewaktu menyusu di mana pelukan ini akan menjana sahsiah si anak dan mengukuhkan ikatan ibu anak.
“Sedangkan haiwan juga ada sifat keibuan dengan sanggup menyusukan anak mereka. Mengapa manusia tidak sanggup, malah tergamak memberikan susu haiwan lain kepada anaknya? Ibu bapa yang memberikan anak susu lembu dan anak membesar menjadi jahat, ibu bapa itu akan dipersalahkan dunia dan akhirat,” katanya.
Anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, tetapi kedua ibu bapa menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. Terpulang kepada ibu bapa untuk memilih yang terbaik buat anak mereka.
Wajibkan beri susu ibu sejam selepas kelahiran
KEMENTERIAN Kesihatan disarankan mewajibkan semua ibu menyusukan bayi dengan susu badan dalam tempoh sejam pertama selepas melahirkan. Ini kerana susu ibu adalah imunisasi pertama dan terpenting yang boleh menyelamatkan bayi daripada risiko kematian.
Cadangan berkenaan dikemukakan Pakar Epidemiologi Molekul Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga berpengalaman sebagai Pakar Kanak-kanak, Dr Syed Zulkifli Syed Zakaria Al Juffry (gambar) sewaktu menyampaikan ceramahnya pada Forum Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), baru-baru ini.
Katanya, bayi berusia kurang dua bulan sering kali berdepan dua kali ganda risiko kematian disebabkan cirit-birit dan penyakit saluran pernafasan (usia kurang setahun) jika tidak diberi susu ibu.
“Dianggarkan 36 peratus bayi meninggal dunia pada bulan pertama dilahirkan. Risiko kematian semakin meningkat dari 0.7 pada jam pertama dilahirkan kepada 1.2 pada hari pertama, 2.3 pada hari kedua dan seterusnya,” katanya.
Peraturan berkenaan penting memandangkan Malaysia adalah antara negara yang tidak memiliki sebarang status permulaan penyusuan susu ibu jam pertama (PSIJP). Berdasarkan data PSIJP sedunia, Malaysia tidak tersenarai memiliki status ini sedangkan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina mengamalkannya.
“Susu ibu adalah imunisasi pertama dan paling penting. Ia dapat menyelamatkan bayi kerana mengandungi kolustrum yang kaya antibodi dan sel hidup yang melindungi bayi daripada jangkitan.
“Ia juga mengandungi julap yang bertindak mengusir mekonium bagi mengurangkan masalah kekuningan, mematangkan usus dan mengurangkan alahan. Kandungan vitamin A dapat mengurangkan kesan penyakit dan mencegah penyakit mata.
“Bayi baru lahir yang diberikan susu lembu atau gantian lain boleh mengalami kerencatan pertumbuhan usus, risiko jangkitan dan penyakit hipotermia (suhu badan terlalu rendah) dan pelbagai penyakit lain yang mengancam nyawa,” katanya.
Berdasarkan kajian ke atas 10,000 bayi baru lahir, pemberian susu ibu secara eksklusif dapat mengurangkan risiko kematian sebanyak empat kali ganda berbanding bayi yang diberi susu gantian yang diperbuat daripada bahan lain.
Kadar kematian neonatal menurun 24 peratus jika 99 peratus bayi disusukan pada hari pertama dan 31 peratus pada jam pertama. Jangkaan nyawa terselamat ialah 867,000 dan 1,117,000.
“Jika ini dapat dipastikan dalam negara kita, ia boleh dijadikan penanda aras. Malangnya, sehingga hari ini tiada langsung iklan penyusuan ibu, tetapi lebih banyak promosi menggunakan susu gantian seperti susu tin termasuk oleh pakar perubatan, jururawat dan bidan sendiri,” katanya.
FAKTA: Penyusuan ibu
> Penyusuan awal sejurus selepas kelahiran memberi lebih peluang berjaya menyusu di peringkat bayi.
> Penyusuan awal dengan protin bukan manusia (susu tin atau susu lembu) boleh menjejaskan fungsi normal usus bayi.
> Susu ibu kaya dengan faktor daya tahan tubuh badan dan lain kepentingan yang diperlukan bagi perkembangan awal usus bayi dan ketahanan jangkitan.
> Susu ibu mengurangkan risiko penyakit yang mengancam nyawa seperti hipotermia dan cirit birit.
> Bayi perlu disusukan sekurang-kurangnya enam bulan sehingga dua tahun.
> Penyusuan awal dengan protin bukan manusia (susu tin atau susu lembu) boleh menjejaskan fungsi normal usus bayi.
> Susu ibu kaya dengan faktor daya tahan tubuh badan dan lain kepentingan yang diperlukan bagi perkembangan awal usus bayi dan ketahanan jangkitan.
> Susu ibu mengurangkan risiko penyakit yang mengancam nyawa seperti hipotermia dan cirit birit.
> Bayi perlu disusukan sekurang-kurangnya enam bulan sehingga dua tahun.
Syor waktu kerja anjal bantu ibu bekerjaya
HAK wanita menyusukan bayi perlu dihormati majikan melalui sokongan dengan mewujudkan suasana mesra bayi di tempat kerja masing-masing. Majikan perlu faham sebagai pekerja yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi, wanita juga memainkan peranan sebagai ibu.
Kaunselor Laktasi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Likas, Kota Kinabalu, Che Aini Abd Razak, berkata risiko pekerja akan menjadi kritikal jika tidak diimbangi dengan tugas semula jadi.
“Majikan harus faham wanita berhak memerah susu ibu dan menyusukan bayinya. Jika tidak mahu menubuhkan nurseri di tempat kerja tidak mengapa, tetapi sekurang-kurangnya membina tempat khas untuk memerah susu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga masih boleh memainkan peranan dalam melindungi, memasarkan dan menyokong hak untuk menyusukan. Antara cadangan yang sekian lama dituntut oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita ialah mengiktiraf keperluan makanan dan kesihatan ibu dan bayi serta cuti bersalin antara empat hingga enam bulan.
“Waktu kerja anjal melalui undang-undang perlu diwujudkan bagi membolehkan ibu menyusukan bayi. Kerajaan perlu lebih berusaha menggalakkan majikan terutama di peringkat swasta untuk menyediakan kemudahan menyusu.
“Satu dasar perlu diwujudkan bagi menghalang promosi iklan susu tepung atau susu selain susu ibu sebagai sokongan pelaksanaan penyusuan ibu,” katanya,
Berdasarkan Konvensyen Perlindungan Cuti Bersalin ILO 103, majikan perlu memberi cuti bersalin selama 12 minggu. Pelepasan waktu menyusu untuk ibu bekerja perlu diwujudkan. Ibu berhak menyusu bila-bila masa dan di mana saja.
“Perbincangan dan penerangan mengenai keperluan dan kebaikan susu ibu akan menjadi pendorong semangat bekerja di kalangan pekerja wanita. Kemajuan dalam peningkatan pengeluaran tenaga tidak terjejas. Majikan begini lebih dihargai dan disanjung tinggi,” katanya.
Buat persediaan ketika hamil
BERGELAR Pengurus Teknologi Maklumat bukan penghalang untuk Rita Rahayu Omar menyusu badan tiga anaknya. Sebagai ibu bekerjaya, Rita tidak menafikan ada banyak halangan dan cabaran terpaksa dilalui untuk memberikan ketiga-tiga anaknya susu badan secara eksklusif.
Katanya, antara halangannya ialah ibu kurang ilmu mengenai kaedah penyusuan ibu. Menyusu badan mungkin nampak mudah, tetapi perlu latihan dan pemahaman.
“Bakal ibu perlu mendalami pengetahuan mengenai penyusuan ibu. Ini boleh dilakukan dengan menyertai seminar atau kelas antenatal. Jangan lupa bawa suami dan keluarga lain seperti ibu atau ibu mentua mahupun pembantu rumah agar mereka turut faham mengenai penyusuan ibu kerana bantuan mereka diperlukan kelak.
“Perkara paling penting dipelajari ialah cara menggunakan pam pemerah susu. Cara yang betul memberikan hasil yang memuaskan. Selain amat penting bagi ibu mempelajari cara untuk memerah susu dan menyimpan stok yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 60 botol,” katanya.
Halangan lain termasuk tidak mendapat sokongan majikan yang menyebabkan bukan saja tiada tempat untuk memerah susu, malah suasana tempat kerja yang tidak bersih atau tiadanya tempat penyimpanan sesuai, waktu bekerja panjang dan tiadanya waktu anjal untuk memerah susu.
Katanya, menyusukan bayi dengan susu badan memerlukan perancangan teliti. Sebaiknya perancangan dibuat sebelum bersalin lagi bagi memastikan penyusuan tidak terganggu.
Persoalan mengenai penyusuan ibu perlu dijawab sebelum melahirkan bayi bagi membolehkan ibu menyusu bayi dengan jayanya ketika dalam pantang dan selepas itu.
“Sebelum bersalin, rancang bila anda perlu memerah susu dan berapa banyak diperlukan untuk disimpan sebagai stok ketika anda keluar bekerja. Dalam hal ini, sokongan suami, ibu dan ibu mentua termasuk pengasuh amat penting.
“Mereka juga perlu faham bahawa anda ingin memberikan susu ibu kepada bayi. Ini penting kerana bantuan mereka diperlukan kelak semasa anda tiada di rumah kerana bekerja,” katanya.
Bagi memastikan ibu berjaya menyusukan anak, Rita menyarankan ibu menggunakan waktu cuti bersalin dengan sewajarnya dan menikmati masa bersama bayi selain belajar memerah susu. Menyusu anak dengan kerap dapat merangsang lebih banyak susu badan dan cukup untuk stok diperlukan.
“Dua minggu sebelum balik bekerja, pastikan anda memberi susu perahan kepada anak. Orang yang bakal menjaga bayi anda juga perlu diberitahu dan dilatih mengenai penyusuan ini. Apabila bekerja, ibu perlu banyak berkorban untuk memerah susu sewaktu rehat makan tengah hari.
“Disiplin diri amat penting. Jangan ponteng memerah susu atau ponteng kerja untuk memerah susu. Pastikan anda tidak mengabaikan waktu bekerja bagi memastikan produktiviti tidak menurun. Jika tidak, majikan pasti tidak mempercayai anda lagi,” katanya.
2 ulasan:
saya teringat kata2 seorang ustaz yang mengatakan anak2 sekarang ramai di beri susu lembu, sedikit sebanyak, sifat lembu tu ada juga katanya.. huhu...
saya setuju.. dah la anak lembu isap susu lembu, anak manusia pun isap susu lembu.. huhuhu..
tp wlugmanapun, pendidikan awal sejak anak dlm kandungan tu penting.. saya pernah terbaca dalam buku Panduan Ibu Mengandung oleh Ustazah NurBa'yah iaitu emosi ibu yang tidak stabil iaitu menyusukan anak dalam keadaan marah boleh menjadikan anak itu menjadi seorg pemarah.. sekiranya sewaktu ibu mengandung itu mengidam sesuatu yg pelik2, seperti ingin makan sesuatu yg haram.. itu memberi petanda pada tingkah laku anak2 pada masa akan datang.. Wallahua'lam..
Catat Ulasan