BERGELAR ibu bapa, saat menyaksikan perkembangan si permata hati sejak lahir adalah suatu pengalaman yang paling indah. Jika boleh, sedetik pun kita tidak mahu terlepas peluang yang cukup berharga ini.
Peringkat awal kehidupan si kecil sememangnya penuh dengan cabaran dan penerokaan. Sebagai ibu bapa, kitalah yang perlu membimbing mereka. Memberi dorongan dan galakan agar tahun-tahun awal kehidupan ini diisi dengan pengalaman serta pengetahuan yang berguna.
Menurut pensyarah dari Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Mastura Badzis, bayi di dalam bahasa Arab disebut at-tiflu yang bermaksud lembut, mudah rosak, sensitif dan mudah terdedah kepada kerosakan.
"Jika tidak betul penjagaan, ia mudah terdedah kepada bahaya. Bayi dan kanak-kanak memerlukan penjagaan dan asuhan yang teliti," katanya.
Merujuk kepada Ibnu Sina, umur dari lahir hingga dua tahun dipanggil usia buaian. Dari tiga hingga lima tahun adalah usia taman asuhan. Dari enam hingga 12 tahun adalah peringkat pendidikan pertama manakala dari 13 hingga 21 tahun peringkat remaja.
Kata Dr. Mastura, untuk menjana perkembangan holistik bayi dan kanak-kanak, ia perlu merangkumi perkembangan rohani, sosio budaya, bahasa dan komunikasi, tingkahlaku simbolik (bermain, bahasa isyarat, mimik muka, kreativiti dan imaginasi), biologi (bentuk tubuh secara fizikal dan kemahiran pergerakan), intelek atau kognitif (pemikiran dan idea), perkembangan sosial (aspek 'saya' dan 'awak', imej diri, jantina, hubungan dengan orang lain) dan emosi (perasaan).
Jelasnya, ibu bapa perlu memahami perbezaan antara perkembangan dengan pembelajaran bagi memudahkan mereka membantu anak meneroka persekitaran.
"Perkembangan adalah perubahan secara umum bagaimana anak berfungsi dan ia berlaku secara normal," katanya.
Manakala pembelajaran adalah sesuatu yang provokasi, kata Dr. Mastura. Ia perlu mendapat rangsangan otak dan ada masalah yang perlu diselesaikan.
"Contohnya, bayi yang memegang bola dan memasukkan ke dalam mulut. Dia ingin mengetahui bagaimana bentuk bola itu dan sebagai ibu bapa, beritahu kepada anak bahawa ini bola," katanya.
Menurut beliau, bayi lebih gemar memasukkan objek ke dalam mulut kerana lidah mereka lebih berfungsi daripada tangan untuk merasa sesuatu objek.
Katanya, bayi yang tidak dirangsang juga akan melalui proses perkembangan seperti biasa tapi tidak sama dengan bayi yang didedahkan dengan proses pembelajaran.
"Rangsangan otak pesat berkembang dalam enam tahun pertama kanak-kanak iaitu hampir 85 peratus. Jika kanak-kanak tidak diberi peluang untuk belajar apa yang ada di sekeliling mereka ketika itu, memang rugi," katanya.
Apa yang berlaku dalam otak kanak-kanak?
Dalam otak kanak-kanak terdapat sel otak (neuron). Ia perlu dirangsang. Jika tidak, neuron akan mati. Jika terdapat rangsangan, sel neuron akan berkembang dan menghasilkan lebih banyak lagi sinap.
Prosedur menjana potensi
* Gunakan segala peluang yang ada supaya bayi boleh membuat penemuan tentang dunia melalui kelima-lima deria yang ada.
* Berbual dan berkomunikasi dengan bayi
* Galakkan bayi memegang, menggenggam objek pelbagai saiz, bentuk dan tekstur. Refleksi genggaman bayi akan hilang selepas berusia dua bulan.
Tiga bulan hingga lima tahun
* Rangsang dengan menggunakan permainan.
* Ketika berumur antara tiga hingga lima bulan, gunakan cermin (baik untuk bayi mengenali imej sendiri kerana ketika ini mereka tidak tahu bahawa imej di cermin adalah diri mereka), 'crip gym' yang boleh ditarik, ditolak dan ditendang.
* Ketika berusia lima hingga lapan bulan, bayi suka membaling dan menjatuhkan objek ke bawah (tanda perkembangan yang sihat). Bila dia mula merangkak, bayi suka persekitaran yang lapang dan mempunyai permainan. Ketika ini mereka mula berkomunikasi.
* Ketika berusia lapan hingga 14 bulan, beri bayi peluang merasai pengalaman melalui eksperimen ketika bermain seperti lompat, menangkap, meramas, memusing, tendang, baling, lari, bergolek dan sebagainya.
"Bayi yang merangkak dahulu sebelum berjalan lebih pengamatan kerana dia dapat mempelajari banyak perkara melalui persekitaran," kata Dr. Mastura.
* Ketika berusia antara 14 bulan hingga dua tahun, kanak-kanak sudah boleh bercakap. Mereka suka dengan permainan imaginatif seperti bermain dengan air. Juga pengalaman secara langsung dengan persekitaran seperti graviti, berat, timbul, tenggelam, sejuk dan sebagainya.
* Ketika berusia antara tiga hingga lima tahun, ibu bapa boleh merangsang kanak-kanak untuk berdikari, belajar berkerjasama, meneroka seni, pelajari pengalaman tentang sebab dan akibat, berimaginasi serta pembinaan kreativiti untuk merangsang kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah.
"Setiap kanak-kanak mempunyai motivasi yang berbeza," jelas Dr. Mastura.
Ciri semula jadi kanak-kanak
1. Kanak-kanak suka meniru perlakuan orang lain (mimik) tanpa mengetahui mengapa sebabnya. Ia akan meniru perlakuan karakter kegemaran mereka selain ibu bapa seperti karakter kartun, tv, dan sebagainya.
2. Kanak-kanak biasanya degil. Ini kerana mereka ingin berdikari tetapi dalam masa yang sama masih memerlukan kehadiran ibu bapa. Membiarkan kanak-kanak mengetahui akibat daripada perbuatan mereka adalah satu cara untuk mengajar mereka agar tidak mengulangi perkara yang sama.
3. Belum mampu membezakan betul dan salah. Pemikiran kanak-kanak belum mampu menaakul sesuatu berasaskan logik dan mereka juga tidak faham mengenai abstrak.
4. Suka bertanya soalan. Disebabkan perasaan ingin tahu yang mendalam, kanak-kanak suka bertanya soalan yang pelbagai mengenai persekitaran, perlakuan dan apa sahaja. Dalam menangani perkara ini, ibu bapa atau pengasuh perlu kreatif ketika memberi jawapan yang sepadan dengan perkembangan pemikiran mereka.
5. Ingatan yang tajam. Ketika usia sebegini, kanak-kanak memang mudah mengingati apa sahaja yang didedahkan kepada mereka. Jika disuruh menghafal sesuatu, mereka mudah ingat tetapi tidak faham apa yang dihafal.
6. Suka kepada ganjaran dan sokongan. Puji kanak-kanak dan beri perhatian serta galakan kepada mereka untuk merangsang perkembangan positif.
7. Kanak-kanak memang suka bermain dan perkara yang menghiburkan adalah naluri semula jadi mereka. Sebolehnya ibu bapa atau pengasuh bermain bersama mereka agar tidak terlibat dengan perkara yang mendatangkan bahaya.
8. Suka bersaing. Semakin kanak-kanak membesar dan sudah boleh berinteraksi dengan adik beradik juga rakan sebaya, mereka akan mula bersaing sesama sendiri dengan tujuan untuk mendapat perhatian.
Sumber: Utusan Malaysia (20/12/2009)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan