Rabu, 25 November 2009

Hasilkan susu demi anak angkat

Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN


PUTERI Nur Balqis terlena dalam pangkuan ibu angkatnya, Rupiah.


PUTERI NUR BALQIS, 19 bulan, malu apabila berdepan kamera. Dia menutup muka dan menangis ketika gambarnya cuba dirakam. “Dia tidak biasa bergambar,” kata ibunya, Rupiah Hairan, 47.

“Gambar dia pun tak banyak. Hanya sekeping dua sewaktu dia masih kecil,” kata Rupiah lalu menghulurkan sebuah album yang menyimpan dua keping gambar puteri kesayangannya itu ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Sempang, Merlimau, Melaka.

Sedangkan keletahnya sudah menambat hati tatkala dia menyambut setiap tangan untuk bersalaman pada
awal pertemuan.

“Macam itulah dia. Mudah mesra dan ceria. Kalau dibawa naik motosikal pusing kampung, habis semua orang dilambainya.
“Kalau tak dibawa balik ke kampung di Tangkak, Johor dalam seminggu, semua ahli keluarga asyik bertanyakan dia.
“Tapi kalau ambil gambar memang dia tak suka,” tambah suri rumah yang bekerja sambilan di sebuah gerai ikan bakar di Umbai, Melaka itu.

Aktifnya, kata Rupiah, sama saja macam kanak-kanak lain. 

“Kalau saya ke dapur memasak, dia pun ikut ke dapur nak ‘tolong’ saya memasak,” kongsi Rupiah tentang anak angkatnya itu yang lebih mesra dipanggil Balqis.

Balqis juga berselera bila makan. “Kalau saya balik ke rumah pada waktu tengah hari dan mahu makan, dia akan makan bersama walaupun dia sudah makan sebelumnya. 

“Tapi saya tidak mengajarnya makan makanan ringan. ‘Jajan’ dia hanya roti dan coklat koko,” dedah Rupiah yang berkahwin dengan suami ketika beliau berumur 42 tahun.

Batas aurat

Anak kesayangannya itu juga digambarkan Rupiah sebagai mudah dijaga.
“Kalau anak-anak lain menangis ketika terjaga daripada tidur, Balqis sebaliknya diam sahaja.
“Selepas sedar sepenuhnya barulah dia bangun dan mencari saya. Malah sekarang saya menjaganya pada waktu siang manakala pada waktu malam tiba giliran suami pula.

“Dulu pernah saya tinggalkan dia di rumah jiran untuk dijaga ketika saya pergi bekerja. Mereka pun tidak banyak mengadu tentang Balqis walaupun kadangkala saya terpaksa mengambilnya semula pada pukul 2 pagi,” luahnya tentang anak angkatnya itu.

Puteri Nur Balqis diambil Rupiah dan suami, Kassim Harun, 42, sebagai anak angkat ketika dia berumur tiga hari dengan berat badan 2.4 kilogram.

Pada waktu itu, Rupiah sempat melihat bagaimana Balqis disusukan ibu kandungnya sendiri.
 “Sejak itu saya terdetik untuk menyusukannya sendiri. Jadi saya berjumpa dengan seorang jururawat yang menganjurkan program menyusu badan di Hospital Melaka dan dia memberitahu saya apa yang saya perlu lakukan.

“Bermula dengan membeli sejenis alat untuk mendidik anak saya menghisap susu badan dan merangsang puting susu mengeluarkan susu, saya dirujuk pula untuk mengambil pil perangsang bagi mengeluarkan susu,” dedahnya panjang lebar.

Rupiah sangat ingin menyusukan Balqis bukan hanya kerana beliau hendak menjadi seorang ibu sejati.
“Saya memutuskan untuk menyusu badan setelah memikirkan batas aurat dan perhubungan antara Balqis dan suami saya selepas Balqis akil baligh kelak. Kalau dia menjadi anak susuan, tidak timbul isu mahram atau aurat,” katanya. Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, seseorang bayi angkat perempuan yang diambil sebelum usia dua tahun dan sekurang-kurangnya telah disusukan sebanyak lima kali sehingga kenyang memang sudah dianggap sebahagian daripada keluarga ibu susuannya.

“Ini bermakna hubungannya dengan suami dan adik-beradik lelaki (jika ada) sudah dianggap sebagai mahram.
“Namun, hubungan tersebut ‘menyelamatkan’ soal batasan aurat sahaja kerana anak angkat itu tidak mewarisi harta dari ibu susuannya kerana hak perwarisan Islam hanya sabit dengan tiga faktor iaitu nasab (hubungan kekeluargaan dan keturunan), perkahwinan (hubungan antara suami isteri) dan wala’ (hubungan antara hamba dan bekas tuannya),” terang Mashitah.

Beliau menambah, suami kepada ibu susuan bayi itu tidak boleh menjadi wali kepada bayi susuan itu ketika dewasa nanti. Maka, hal nikah perlu menggunakan wali hakim atau bapa kandung bayi itu sendiri.
USAHA dan perit jerih yang terpaksa dilalui Rupiah akhirnya berbayar dengan penghargaan dan pengiktirafan.


Anugerah
Seperti ibu yang lain, Rupiah juga mengalami pembengkakan pada payu daranya.
“Syukur, susu keluar dengan banyak tanpa masalah. Pertama kali menyusukan Balqis juga mudah dan tidak menyakitkan.

“Sewaktu payu dara bengkak juga tidak terlalu sakit,” kata Rupiah yang hanya berhenti menyusukan Balqis setelah Balqis tidak lagi mahu menyusu badan ketika berumur kira-kira 15 bulan.

Menariknya, penduduk Kampung Sempang juga bersetuju dengan tindakan Rupiah.
“Mereka kata apa yang saya buat ini memang baik dan betul. Jadi tidak ada yang mengejek atau mencemuh langkah yang saya ambil ini,” ulasnya.

Kalau diperhatikan, tidak ada perbezaan ketara pada perangai antara anak kandung dan anak angkat yang disusukan dengan susu badan.

“Sama ada ia susu yang dihasilkan sendiri setelah melalui peringkat kehamilan atau melalui pengambilan pil perangsang untuk mengeluarkan susu, ia sama saja.

“Menyusu badan menguatkan lagi kasih sayang antara kami. Saya percaya sama saja konsepnya dengan ibu yang hamil, melahirkan dan kemudian menyusukan anaknya itu dengan susu badannya sendiri walaupun saya tidak pernah hamil,” ujar Rupiah.

Anak kelima daripada sepuluh adik-beradik itu mengakui banyak yang perlu dilalui untuk menerima Anugerah Ibu Angkat Susuan pada Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Melaka pada 17 November lalu.

“Ketika saya mengambil Balqis sebagai anak angkat, saya sudah dicemuh kerana asal-usulnya. Lebih-lebih lagi setelah dilahirkan, Balqis berkulit gelap sehingga ke bibirnya.

“Saya juga terpaksa bekerja dari pukul 6 petang sehingga selewat-lewatnya 2 pagi di gerai ikan bakar untuk menjana pendapatan sampingan keluarga kami.

“Suami juga terpaksa meminta agar waktu giliran bekerja sebagai pengawal keselamatan ditukar untuk membolehkan kami menjaga sendiri Balqis,” ceritanya yang berharap Balqis akan menjadi seorang ustazah apabila dia besar kelak.

“Nasib baik ada Balqis. Dialah kekuatan saya untuk teruskan hidup. Sekarang, semua ahli keluarga sayangkannya. Jiran-jiran juga senang dengannya,” luah Rupiah.

Selain Balqis, Rupiah juga memiliki tiga orang anak tiri hasil perkahwinan suami dengan isteri pertamanya.

Menyusukan bayi oleh wanita yang belum melahirkan anak sudah diterima oleh masyarakat negara ini walaupun dalam sesetengah kes, wanita tersebut masih dara dan belum berkahwin.

Tiada ulasan: