SECARA umumnya kita mengetahui tentang kelahiran di dalam air menerusi dokumentari yang disiarkan di kaca televisyen. Penulis juga pernah melihat satu dokumentari di mana seorang ibu yang memilih untuk bersalin di dalam air berkongsi pengalaman tersebut bersama sanak saudara dan jiran-jirannya, sungguh mengagumkan.
Jika dilihat dari sejarah kelahiran bayi di dalam air ini, ia bermula pada tahun 1960-an apabila seorang penyelidik dari Rusia, Igor Charkovsky melakukan kajian tentang kebaikan kelahiran di dalam air. Pada penghujung tahun tersebut seorang pakar perbidanan dari Perancis, Frederick Leboyer mencuba kaedah kelahiran di dalam air untuk membiasakan bayi yang sebelum ini berada di dalam uri.
Seorang lagi pakar perbidanan Perancis, Michel Odent, menambahbaikkan lagi kajian Leboyer dengan menggunakan kolam bersalin sebagai salah satu cara mengurangkan rasa sakit bersalin. Odent juga mencari kebaikan bayi yang dilahirkan di dalam air dan di penghujung tahun 1990, ribuan bakal ibu telah memilih untuk bersalin di Pusat Bersalin Odent di Pithivier dan sejak itu, kaedah bersalin di dalam air mula digemari.
Kini, kaedah bersalin di dalam air menjadi satu perkara yang biasa di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ramai yang mempraktikkan kaedah ini mengakui bersalin di dalam air lebih merehatkan dan umpama spa yang memberi kelegaan serta ketenangan fikiran.
Pakar perbidanan dan kelahiran, Pusat Perubatan Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur Dr. Choong Kuo Hsiang berkata, di Malaysia, kaedah ini tidak begitu diterima rakyat Malaysia memandangkan ia agak bertentangan dengan adat dan budaya sesetengah kaum di negara ini.
"Memang ada permintaan untuk kelahiran cara ini di Malaysia tetapi kebanyakan yang memilihnya adalah wanita Inggeris yang menetap di Malaysia kerana mengikut suami bertugas di sini," jelasnya ketika ditemui di kliniknya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Justeru, katanya, Pusat Perubatan Pantai telah merasmikan pusat kelahiran air yang pertama di Lembah Klang awal tahun ini. Sejak dari tarikh tersebut sebanyak tiga percubaan melahirkan anak di dalam air, namun hanya dua yang berjaya dilahirkan dengan kaedah ini.
"Terdapat dua aspek bersalin di dalam air, pertama sewaktu sakit di dalam air dan bersalin di luar serta kedua, bersalin dan melahir anak di dalam air. Semuanya terpulang kepada ibu. Pihak doktor tidak akan memaksa,'' kata Dr. Kuo Hsiang yang telah mempunyai 17 tahun pengalaman sebagai doktor pakar perbidanan.
Untuk bersalin di dalam air, seorang ibu perlukan kolam dengan air dengan suhu bilik 37 darjah Celsius, tidak terlalu sejuk dan tidak pula terlalu panas.
Kondisi seorang ibu pula mestilah sihat, tidak mempunyai penyakit lain seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis.
"Ibu juga bebas untuk memilih cara paling selesa untuk bersalin dan tubuh mereka berasa ringan kerana apungan air. Jadi mereka boleh bertinggung, melutut semuanya mengikut keselesaan mereka ketika waktu bersalin. Malah, suami juga boleh turut sama berada di dalam kolam untuk memberi sokongan kepada si isteri," jelasnya.
Apabila bercakap tentang kelahiran di dalam air, ramai yang menggeleng kepala kerana membayangkan risiko bayi akan lemas di di dalam air selepas dilahirkan.
"Ramai yang bertanggapan bahawa kemungkinan bayi yang dilahirkan akan lemas di dalam air, tanggapan tersebut salah kerana bayi yang baru dilahirkan tidak akan bernafas untuk beberapa saat. Ketika itu bayi pun akan terus disambut oleh bidan atau doktor," katanya.
Bagi yang menganggap geli kerana kolam akan berlumuran darah juga perlu membetulkan tanggapan tersebut kerana darah ibu hanya akan keluar selepas uri dikeluarkan sahaja.
"Jadi air di dalam kolam bersalin akan bersih sahaja dan uri ibu biasanya akan dikeluarkan oleh bidan atau doktor selepas dia keluar dari kolam," jelas Dr. Kuo Hsiang lagi.
Dr. Kuo Hsiang menambah kelahiran di dalam air sebenarnya hanyalah salah satu alternatif tambahan bagi ibu yang tidak mahu menggunakan sebarang intervensi.
"Kelebihan kelahiran di dalam air hanya memberi ibu rasa relaks terutama apabila berhadapan dengan kontraksi kelahiran. Falsafah saya apabila seorang ibu mahu bersalin, keselesaan adalah keutamaan yang perlu diberi kepada mereka.
"Berdasarkan kajian saya, posisi bersalin yang paling baik untuk si ibu ialah dengan bertinggung," ujarnya
2 ulasan:
salam sue, seronok jumpa orang yang sama pengalaman. ceritalah kat blog ni pengalaman membesarkan hydrocephalic. insyaAllah sama² kita dapat manfaatnya
salam,
sy memang nak bercerita pun.. buat masa ni takde gajet utk masukkan gambar dlm blog.. sy br blajar wat blog, entry pun tak bnyk..ni pun try n error.. tu yg segan nak invite org visit blog hehehe.. ada masa yg sesuai nanti sy bercerita panjang lebar k..
Catat Ulasan