Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my
KECERIAAN, keselamatan dan kesihatan anak menjadi keutamaan semua ibu bapa.
PENGALAMAN menjadi ibu atau bapa buat kali pertama adalah sesuatu yang amat mengagumkan dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Kegembiraan menyambut nyawa baru ke dunia bagaikan satu empangan pecah yang mencurahkan segala kasih sayang ke atas anak kecil dalam genggaman.
Di kemuncak kasih ibu bapa terhadap anak, memayungi mereka dari segala macam ancaman, kesakitan dan kesedihan, bagaimana jika nyawa kecil itu tiba-tiba hilang? Tidak dapat digambarkan kesedihan yang bakal menimpa mana-mana ibu dan bapa yang melangkaui hayat anak, apatah lagi terpaksa mengkebumikan anak mereka sendiri.
Tiada jumlah kemarahan, dendam dan kekesalan dapat memenuhi kekosongan jiwa ibu bapa yang kehilangan anak, terutamanya jika mereka sendiri yang menjadi punca kehilangan tersebut.
Suasana suram
Situasi dunia di sekitar kita semakin membimbangkan dan sukar dibayangkan membiar anak-anak bermain, mahupun keluar rumah tanpa sebarang pemantauan.
Jika anda seorang ibu atau bapa, pasti sentiasa terfikir akan keselamatan anak sebaik sahaja mereka menapak keluar dari rumah. Ke sekolah, bermain, ke rumah rakan, ke pasar malam mahupun kedai berhampiran. Bukan sekadar risau akan perompak, penculik dan perogol, malahan bermacam jenis penyakit yang terus menular dalam masyarakat muda kita.
Kita mendengar bermacam kisah di berita, akhbar dan juga internet. Kita tahu ada antaranya yang benar dan hiba untuk dibaca. Namun, kebanyakan ibu bapa tidak mahu terlalu memikirkan sesuatu yang mungkin berlaku atau tidak. Selagi tragedi berkenaan tidak berlaku kepada anak sendiri, saudara, rakan mahupun jiran, ianya tetap dianggap sebuah cerita semata-mata.
Ada yang menegaskan kejadian dahsyat yang melibatkan penyakit dan jenayah kejam ke atas kanak-kanak jarang berlaku, dan jumlah kematian juga amat kecil. Bagi mereka yang mempunyai anak, pasti memahami nyawa anak itu tidak boleh dinilai dengan sebarang digit, perangkaan dan statistik. Kehilangan setiap satu nyawa kanak-kanak menjadi satu kerugian besar kepada masa depan kita.
Perlindungan
Setiap tamadun manusia dinilai melalui cara mereka melayan, menjaga dan melindungi kelompok individu paling lemah dalam masyarakat. Pastinya yang paling lemah adalah individu yang sakit dan juga kanak-kanak yang masih belum dapat berdikari mahupun berfikir dengan sendiri. Bagaimana pula jika anak kecil itu sendiri yang sakit?
Perlindungan dari ibu, bapa dan keluarga menjadi penanda aras utama kita cukup bertamadun, maju dan berakal. Perlindungan untuk anak, dari segala bentuk ancaman, kesakitan dan kesedihan bukan sahaja menjadi tanggungjawab golongan dewasa, malahan merupakan hak mutlak kanak-kanak.
Bukan sekadar tempat tinggal dan makanan, perlindungan paling penting untuk anak anda adalah menjaga keselamatan dan kesihatan mereka - fizikal dan mental. Sememangnya ibu bapa patut menyediakan tempat tinggal yang sempurna dan selesa untuk anak, makanan yang berkhasiat, pendidikan (agama dan akademik) serta perlindungan dari ancaman yang nyata. Namun, masih banyak yang boleh dilakukan - jelas dari peningkatan masalah kesihatan dan masalah sosial yang wujud kini.
Faktor kesihatan fizikal dan mental anak perlu diberi lebih perhatian, terutamanya di ketika banyak pengaruh sosial dan penyakit dari luar yang menyusup ke dalam masyarakat kita. Dari segi mental, perkembangan
minda anak sebenarnya telah bermula sejak tempoh awal ibu mengandungkan mereka lagi.
Di dalam kandungan ibu, perkembangan mental dan fizikal anak mengikut keadaan emosi dan kesihatan ibu, malahan boleh terjejas teruk jika ibu berkenaan melalui pelbagai keperitan sepanjang tempoh tersebut.
"Tekanan mental dan fizikal ke atas ibu yang mengandung akan memberi kesan terus kepada fetus dalam kandungan."Kesan ini juga akan berpanjangan selepas kelahiran, membawa masalah di peringkat bayi, kanak-kanak atau lebih jauh lagi," jelas Prof. Madya Dr. M. Swamenathan, Pakar Perunding Psikologi, Kolej Perubatan Manipal Melaka.
Menurutnya, kesan negatif terhadap janin termasuk kematian saraf, perkembangan abnormal, kurangnya aliran darah ke uterus dan kelahiran pramatang.
Tambahnya, bayi mungkin perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selepas dilahirkan akibat masalah seperti berat badan yang rendah, kurang menyusu, perkembangan yang lambat dan saiz kepala yang lebih kecil. "Bayi yang dilahirkan ibu yang mengalami tekanan fizikal mahupun mental mungkin mengalami masalah perkembangan dan aktiviti saraf motor, kuat menangis, sukar ditenangkan dan bermacam masalah lain.
"Antara punca utama adalah diet pemakanan, pengambilan dadah atau alkohol, dan merokok. Lebih membimbangkan, bilangan gadis tempatan yang merokok telah meningkat hampir dua kali ganda berbanding lima tahun lalu," tegas Dr. Swamenathan.
Beliau turut mendakwa masalah perangai dan tabiat di peringkat kanak-kanak seperti hiperaktiviti dan kurang tumpuan (ADHD), kemurungan, tekanan, autism dan jenayah mempunyai kaitan terus dengan situasi mental dan emosi ibu ketika mengandung.
Untuk itu, beliau menekankan keutamaan tahap kegembiraan seorang ibu ketika mengandung perlu dijaga rapi ahli keluarga, terutamanya suami. Tambah Dr. Swamenathan, peranan suami dalam perkembangan minda dan fizikal anak dalam kandungan amat besar. Yang paling utama adalah untuk memastikan ibu yang mengandungkan anaknya itu tidak tertekan dan kekal gembira sekerap mungkin.
" Bantu mereka (ibu) mengawal tekanan yang dihadapi melalui sokongan dan kasih sayang. "Berikan motivasi, galakan serta jaminan penjagaan dan perlindungan sepanjang masa. Dapatkan juga bantuan perubatan jika perlu," ujarnya.
Imunisasi
Perlindungan mental dan fizikal anak tidak berakhir selepas mereka dilahirkan, sebaliknya ia baru sahaja bermula. Di zaman maju dan moden ini, pencegahan menjadi pilihan terbaik bagi melindungi anak anda, dan pencegahan terbaik dari bermacam jenis penyakit adalah melalui program imunisasi.
Ini boleh dicapai sama ada melalui pemindahan antibodi atau memberikan keupayaan mempertahankan diri kepada sistem imuniti badan anak anda.
"Imunisasi secara pasif berlaku sebaik sahaja anak mula menyusu susu badan dari ibu. Cara ini memindahkan antibodi dari dalam badan ibu terus ke dalam badan anak.
"Pada peringkat usia tertentu, anak boleh diberikan vaksin yang akan mengaktifkan sistem imuniti badan mereka bagi membentuk perlindungan sendiri terhadap kuman tertentu," ujar Datuk Dr. Zulkifli Ismail, Pengerusi Pengasuhan Positif, Persatuan Pediatrik Malaysia.
Menurut beliau, rahsia mudah untuk kita melindungi dan menjaga kesihatan anak adalah penyusuan badan, imunisasi (vaksin), keselamatan di rumah dan mencuci tangan. Tangan merupakan antara tapak kuman berkumpul dan mudah menyebarkan kuman pembawa penyakit.
Di ketika negara semakin dibanjiri ramai warga asing yang masuk secara sah atau secara haram, masalah penyebaran penyakit berjangkit menjadi antara kebimbangan di kalangan ibu bapa. Persoalan timbul sama ada warga asing terbabit telah mengambil imunisasi terhadap penyakit khusus, terutamanya yang sudah terkawal atau dihapuskan di negara ini.
Ramai warga asing yang dikesan membawa masuk penyakit seperti malaria, tuberkulosis (tibi), demam kuning, hepatitis dan mungkin juga polio yang sudah dihapuskan dalam masyarakat tempatan. Kemudahan pengangkutan juga menjadi punca kuman seperti virus Influenza A H1N1 begitu mudah merebak ke seluruh dunia.
Kerajaan Malaysia juga telah mengambil inisiatif untuk memberikan imunisasi terhadap warga asing yang belum mengambil vaksin tertentu. Walaupun memberi beban kewangan kepada negara, langkah ini penting bagi memastikan penyakit yang sudah terkawal atau dihapuskan itu tidak kembali menular dan membebankan penduduk tempatan.
"Bagi rakyat negara ini, perlu diketahui juga bahawa selain vaksin yang diwajibkan untuk anak di dalam jadual imunisasi, terdapat juga beberapa vaksin pilihan yang tidak diwajibkan kerajaan.
"Ini termasuk vaksin untuk rotavirus, pneumokokus, Influenza, Hepatitis A, Varicella (Chickenpox) dan meningokokus." jelas Dr. Zulkifli.
Seperti vaksin-vaksin lain, beliau menjelaskan vaksin tambahan ini juga terdapat dalam pilihan dos tunggal - berasingan, atau dos gabungan yang boleh menggabungkan sehingga enam vaksin dalam satu suntikan.
"Secara peribadi saya tidak gemar menyuntik kanak-kanak dan lebih suka memberikan kombinasi vaksin enam dalam satu."
Dr. Zulkifli juga menyangkal kebimbangan sama ada kanak-kanak mungkin mendapat dos vaksin berlebihan (dari beberapa jenis vaksin berbeza).
"Secara teorinya, setiap bayi dan kanak-kanak mempunyai keupayaan untuk memberi tindak balas terhadap 10,000 vaksin pada masa yang sama.
"Oleh itu, jika sekitar 11 vaksin (yang diwajibkan kini) diberi secara serentak kepada seorang bayi, ia hanya akan 'menggunakan' 0.1 peratus sistem imuniti badan mereka," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membidas sesetengah kakitangan kesihatan yang memaklumkan kepada ibu bapa bahawa vaksin tambahan tidak penting.
Menurutnya, pilihan untuk memberikan vaksin tambahan atau tidak menjadi hak ibu bapa dan bukannya terletak di tangan orang lain.
"Sebagai contoh, suntikan vaksin penumokokus. Adalah lebih baik jika vaksin tambahan ini diberikan kepada anak.
"Ini kerana kajian baru menunjukkan bakteria pneumokokus meningkatkan risiko komplikasi dan kematian jika jangkitan berlaku pada waktu sama dengan jangkitan virus Influenza," tegas Dr. Zulkifli.
Jelasnya, kajian ke atas tikus yang disuntik dengan virus Influenza bersama bakteria penumokokus menunjukkan kesemuanya mati akibat komplikasi yang timbul!
Sama ada ibu bapa memilih untuk memberikan anak mereka suntikan vaksin tambahan bukannya isu utama. Apa yang lebih penting adalah mereka mengetahui adanya pilihan vaksinasi tambahan yang tidak disertakan dalam program imunisasi nasional.
Walaupun agak mahal, mereka yang berkemampuan mungkin memilih untuk memberikan vaksin tambahan berkenaan bagi memberi perlindungan tambahan kepada anak mereka. Ini kerana sebagai ibu bapa, segala usaha keras bekerja, berkorban dan segala penat lelah adalah bagi memastikan anak mempunyai kehidupan yang selesa, selamat dan paling penting, sihat serta terlindung dari penyakit.
Bukan sekadar tanggungjawab, ia menjadi hak mutlak kanak-kanak. Sebagai ibu bapa, kita yang menjadi penentu yang melindungi perkembangan mental dan fizikal mereka. Pasti hancur luluh hati ibu atau bapa yang terpaksa melihat anaknya menderita akibat masalah kesihatan, mental atau fizikal. Sebagai ibu bapa, kita yang menentukan sama ada mahu mengharungi keperitan itu, atau memilih pencegahan sebagai pilihan utama. Anak adalah pewaris kita dan harta paling bernilai. Lindungilah mereka dengan segala upaya!